Perkahwinan, Kahwin Muda, Isu dan Masalah

ASSALAMUALAIKUM SAHABAT SEMUA.

Cuba kita nilai situasi yang berikut :

A : Pakcik, saya suka anak pakcik, boleh saya nak jadikan dia isteri saya?

B : Boleh nak, sekarang berapa kamu ada?

A : Ada RM100 pak cik.

B : Baik, simpan untuk maharnya, esok terus akad ye. Walimahnya kita sederhana sahaja, cukuplah sekadar meraikan hari bahagia dan hebahkan kat orang ramai.

SUBHANALLAH.. Senangnya kan nak mendirikan masjid. Itu lah sebenarnya anjuran Islam. Mudah dan tidak menyusahkan. Dalam bab munakahat ni, Islam tidak meletakkan syarat yang membebankan kepada penganutnya. Apa yang penting adalah mendirikan sunnah nikah itu, jadi diri itu terjaga dari perkara yang merosakkan.

Sekarang bagaimana situasinya? Nilailah situasi sekarang jika ingin mendirikan rumahtangga. Nilailah hantaran yang diminta kini, dengan dulang-dulang sebagai hantaran, nilailah keperluan minima untuk kahwin pada hari ini, sedangkan dalam agama, cukup pada kemampuan membayar mas kahwin, dan cukup rukun nikah, maka nikah lah. Mas kahwin itu sudah hadiah untuk wanita, bukanlah syarat beg tangan beratus-ratus pada harga serta perhiasan dan alat solek berjenama sebagai hadiah dalam kesempurnaan perkahwinan. Malah pembaziran itu perkara penting perlu dielakkan dalam perkahwinan.

Andaikata seorang lelaki datang berjumpa keluarga pihak perempuan, tidak asing lagi persoalan yang sebegini akan ditanya kepada pihak lelaki :

“Kamu kerja apa, gaji bawah 2k ke atas 2k”

“Kamu pakai kereta apa? Biasa-biasa saja ke?”

“Cukup ke belanja nanti nak buat kenduri grand untuk anak kami ni?”

“Belanja kahwin ni 10k la, hantaran 10 dulang”

Tidak semua macam itu, tapi itu lah yang terjadi pada masa sekarang ni. Alhamdulillah bagi ibu bapa yang concern akan nilai sebuah perkahwinan ni sebagai asas agama, dengan tidak membebankan pasangan yang ingin berkahwin.

“Sesungguhnya barakah itu pada mahar yang murah”

Saya membuat penilaian tentang pemikiran kebanyakan orang tentang perkahwinan ni, khususnya perkahwinan yang melibatkan pasangan yang masih muda (Saya maksudkan dalam lingkungan umur 20-25 tahun), istilah “GATAL” tu perkara biasa kita dengar andai pasangan muda yang ingin berkahwin. Betapa negatifnya fikiran sebegini sedangkan perkahwinan itu satu tuntutan dalam agama. Kebanyakan ibu bapa akan berkata sebegitu kepada anak mereka yang ingin berkahwin awal. Pasangan yang sudah pun berkahwin, maka kata-kata sebegitu kepada anak mereka itu tidak memberi kesan kepada mereka, tetapi andai kata mereka itu berada di tempat anak-anak, dengan keadaan persekitaran yang boleh menjerumuskan mereka ke lembah maksiat, nescaya mereka ini pasti akan ada juga keinginan untuk berkahwin pada usia muda.

“Tundukkan pandangan nescaya terjaga kemaluan”

Kenapa pandangan? Kerana ALLAH itu arkitek manusia, ALLAH cipta pandangan manusia ini dia berhubung dengan nafsu manusia, dengan kemaluan, dengan syahwat. Jadi kalau pandangan itu kepada perkara yang tak elok, nescaya itu boleh menjerumuskan kita kepada maksiat. Dari maksiat mata ini lah boleh membawa maksiat yang lebih besar seperti berzina. Saya kemukakan pandangan ini bagi mereka yang berfikiran negatif tentang berkahwin di usia muda, dan juga berkahwin ketika masih belajar.

Saya juga ini ajukan soalan, apa jaminan kamu mampu menundukkan pandangan dari perkara yang tak elok yang boleh mempengaruhi syahwat kamu? Wahai ibu bapa, saya juga ajukan soalan, apa jaminan kamu anak-anak yang masih belajar mampu menahan godaan pandangan mata mereka dalam situasi masa kini? Andai kata pemahaman ibu bapa tentang belajar itu lebih utama dari menjaga mata dan kemaluan, maka itu relevan andai ibu bapa mahukan anak-anak habis belajar dahulu sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Saya tak nafikan bahawa pandangan ibu bapa adalah supaya tumpuan anak-anak terhadap pelajaran tidak terpesong tetapi adakah dengan berkahwin itu pelajaran mereka tidak akan cemerlang dan baik secara total?

Kebanyakannya berpendapat tidak sesuai berkahwin awal, ditambah pula dengan status sebagai seorang pelajar. Ramai yang punya pandangan belajar bagi habis baru kahwin, jarang yang berpandangan “pelajar atau tidak, dari buat perkara maksiat lebih baik kahwin”. Paling utama adalah mengelakkan maksiat itu, jadi bagi saya nikah awal itu lah jalan yang paling baik.

Realitinya, ibu bapa takut untuk mengahwinkan anak di usia awal kerana bimbang nanti keadaan anak, tentang makan minum serta belanja anak. Saya ulaskan dengan mendalam tentang masalah ini, adakah bila sah bergelar suami dan isteri maka bantuan memenuhi keperluan dari ibu bapa itu tidak boleh diterima oleh anak yang dah berkahwin?Adakah haram hukumnya?  Tidak salah kan? Malah anak-anak juga dengan kudrat mereka mampu bekerja bagi menampung keperluan hidup mereka, walaupun bersederhana. Dalam mengharungi rumah tangga mereka di usia yang muda, dan dalam status sebagai pelajar lagi, maka ibu bapa juga merupakan tempat dan perangsang bagi pasangan ini menempuh hari sebagai suami isteri. Ibu bapa tidak salah membantu sekadar termampu bagi mengukuhkan rumah tangga yang dibina.

Sahabat-sahabat, baguslah menyimpan keinginan mendirikan sunnah nikah ini. Tetapi perkara biasa kan ibu bapa susah memahami keinginan kita, kerana mereka punya pandangan berbeza dengan kita. Bagaimana meyakinkan ibu bapa kita? Baik, beginilah pada pandangan saya.

1-Menyampaikan keinginan dengan sebenar-benarnya, tiada berselindung, dengan nada yang sesuai. ALLAH akan menolong hamba-Nya untuk perkara kebaikan insyaALLAH.

2-Orang tengah sebenarnya berperanan penting. Sebaiknya cari lah yang boleh menyampaikan hajat kita tu dengan cara yang berhikmah, kerana pendekatan dengan cara yang berhikmah itu akan membuka hati ibu bapa menerima pandangan kita.

3-Pandangan yang yang negatif tentang hasrat kita itu dibalas dengan pandangan yang relevan serta bernas, sebaik-baik hujah kita atas pandangan agama. Contoh :

Anak : Ayah saya nak kahwin lah.

Ayah : Kenapa dah gatal nak kahwin ke?

Anak : Siapa yang xnak pahala dengan pandang pasangan yang sah, siapa xnak pahala dengan sentuh pasangan yang sah, siapa xnak pahala bergurau senda dengan pasangan yang sah ayah. Ini lah tuntutan agama kita.

4-Keyakinan ibu dan ayah tu dipengaruhi oleh sikap kita. Andaikata kita sebagai ibu dan bapa, kita melihat sikap anak kita yang penuh tanggungjawab menjaga adik-adik, serta pandai menguruskan diri, jadi keyakinan itu ada andai anak itu menyatakan hasrat memiliki pasangan hidup. Andai anak itu sendiri tidak pandai menguruskan diri, adakah ada keyakinan ibu bapa andai anak itu ingin menjadi pengurus rumah tangga =)

5-Matangkan minda kita, belajar ilmu agama serta usaha mengubah diri ke arah kebaikan, andai perubahan kearah kebaikan itu nampak pada anak-anak, maka pada ibu bapa, mereka yakin terhadap kemampuan anak-anak unuk menjadi seorang pemimpin yang baik.

6-Wanita, siapkanlah diri kamu dengan persiapan menjadi seorang suri dalam rumah tangga kamu kelak. Dengan itu keyakinan ibu bapa terhadapmu tinggi, dan mereka percaya kamu mampu menjadi seorang suri yang baik.

7-Berbincanglah dengan baik, nyatakan kelebihan apa yang kita dapat andai kata kita dapat mendirikan masjid. Ingat lah pada keredhaan ibu bapa, bercakaplah dengan lemah lembut yang kita mengharapkan redha ibu bapa dalam melakukan sunnah ini, dan ibu bapa juga mendapat ganjaran andai meredhai kebaikan yang akan dibuat oleh si anak dengan berkahwin.

Penulisan yang ringkas ini sekadar berkongsi pandangan tentang isu perkahwinan pada masa kini, tentang permasalahan dan salah faham tentang perkahwinan. Di harap dengan entri ini dapat memberi manfaat kepada semua insyaALLAH.

Leave a comment